Mayat mangsa, Fatimah Dollah, 66, ditemukan anaknya, Rusdi Latiff, 41, kira-kira pukul 11 pagi ketika lelaki itu mahu menziarahi wanita tersebut.

Difahamkan, apabila tiba di rumah, Rusdi terhidu bau busuk dari rumah yang dikunci dari dalam.

Dia terpaksa memecahkan tingkap ruang tamu sebelum berjaya masuk dan menemukan mangsa yang terlentang atas katil dalam keadaan tubuh badan sudah kebiruan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, mangsa berniaga sayur di Pasar Gok Kapur di sini dan kali terakhir anaknya berjumpa wanita itu pada Sabtu lalu.

"Disebabkan warga emas tersebut tidak kelihatan berniaga beberapa hari selepas itu, anaknya pun mahu datang menjenguk.

"Mangsa juga dikatakan tidak pernah mengadu sebarang sakit kepada anaknya. Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui," katanya.

Beliau berkata, mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan. - UTUSAN ONLINE