Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perkara berkenaan ditegaskan oleh beliau kepada pihak yang terlibat dalam cadangan pembinaan hotel di kawasan pantai peranginan itu.

Beliau berkata, sekiranya semua pihak mematuhi peraturan, pelaksanaan projek akan dapat dibuat dengan cepat dan kos lebih rendah.

"Kalau saya dengar ada yang beri dan terima komisyen saya akan batalkan projek. Jangan ambil duit orang," katanya berucap dalam Majlis Kesyukuran Bersama Veteran Tentera di Bagan Pinang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Negeri Undangan Negeri Sri Tanjung, M. Ravi dan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah serta kira-kira 200 veteran tentera.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau meletakkan tiga syarat kepada syarikat yang ingin membina hotel di Port Dickson.

Jelasnya, syarat tersebut ialah membersihkan kawasan pantai berdekatan hotel, memberikan pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menyediakan perumahan untuk pekerja.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau telah melawat Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang pada Jumaat lalu.

"Beliau datang ke hospital untuk periksa buah pinggang tetapi saluran jantungnya didapati tersumbat. Alhamdulillah, beliau sudah beransur sihat semasa saya melawatnya sehari selepas pembedahan," katanya. - UTUSAN ONLINE