Langkah penstrukturan semula itu  menjurus kepada penugasan pasukan elit di bawah naungan penuh 10 Briged merupakan salah satu pendekatan membolehkan pasukan Tentera Darat melaksanakan operasi ketenteraan serentak melibatkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu masa kelak.

Upacara simbolik dan serah menyerah bendera 18 RAMD (Para) oleh Panglima 8 Briged kepada Panglima 10 Briged (Para) dilangsungkan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM)  yang disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Yang turut hadir, Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jen. Datuk Nazari Abd. Hadi.

Sempena upacara itu, demonstrasi keupayaan Pasukan Aturgerak Cepat yang mempamerkan keupayaan melaksanakan penerjunan dari pesawat udara (teknik Fast Roping) dan SPIE-Rig, Hover Jump’ serta serangan platun ke atas objektif musuh dipertontonkan kepada umum.

Ini melibatkan penyertaan 800 pegawai dan anggota dari ketumbukan dengan pelbagai aset ketenteraan digunakan termasuk aset tentera udara seperti pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM dan pesawat pengangkut C130 H.

Selain itu, orang ramai turut disajikan dengan demonstrasi penyusupan Seksyen Pandu Arah Udara (penerjunan bebas), Close Air Support oleh dua buah pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM, tejunan statik dari pesawat C130 H (Mass Drop), penarikan keluar seksyen pandu arah udara (Teknik SPIE-RIG).

Begitu juga penyusunan kumpulan serangan menggunakan Helikopter Nuri (teknik Fast Roping), penyusunan menggunakan teknik Hover Jump dan CAS dari pesawat pejuang Sukhoi dan penerjunan statik menggunakan pesawat C 130H.

Dalam pada itu, Ahmad Razif mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada Tentera Darat khususnya Zulkiple atas pengisytiharan pengoperasian RAMD 18 (Para) di Kem Seberang Takir yang telah dinaik taraf.

“Ia sudah menjadi pasukan elit yang melibatkan tindakan ekstrim dan lebih agresif, dan kita juga rasa bertuah kerana Batalion 18 ini, kita dapat dua panglima iaitu panglima 8 Briged dan panglima 10 Briged,” jelasnya.

Sementara itu, Zulkiple pula berkata, penstrukturan semula Batalion ke-18 Rejimen Para itu menjadikan 10 Briged Para mempunyai empat batalion infantri sekali gus menambah kekuatan kepada briged berkenaan.

“Majllis hari ini secara kasarnya mentakrifkan Batalion ke-18 Rejimen Para sekarang sudah boleh ditugaskan sebagai pasukan elit di bawah naungan 10 Briged dengan sepenuhnya.

“Salah satu keperluan tambah kekuatan 10 Briged Para kerana komitmennya amat tinggi, kita terlibat dalam misi bukan saja dalam negara malah hampir keseluruhan misi kita di luar negara melibatkan anggota 10 Briged Para,” katanya sambil menambah, Pasukan Aturgerak Cepat itu mempunyai seramai 800 anggota.

Sebagai pembentukan awal Pasukan Aturgerak Cepat itu, seramai empat pegawai dan 46 anggota lain-lain pangkat dipilih sebagai kumpulan perintis yang telah menghadiri kurus asas payung terjun di Pusat latihan Peperangan Khusus ( Pulpak) Melaka. - UTUSAN ONLINE