Menceritakan perkara itu kepada wartawan Bernama News Channel (BNC) di Rumah Sakit Umum Daerah Nusa Tenggara Barat, air mata Nawari, 46, seperti tidak berkesudahan kerana sering menitis sepanjang temu ramah itu.

Menurut Nawari, anak ketiga daripada empat beradik yang diberi nama Tomy Al Bayani disahkan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala setelah dihempap batu di Air Terjun Tiu Kelep, Senaru di sini.

"Tomy sering ke air terjun itu selepas habis sesi persekolahan dan pada hujung minggu kerana ingin mencari wang saku dengan menjadi pemandu arah kepada pengunjung khususnya dari luar negara kerana kebolehannya berkomunikasi dengan baik," katanya.

Jelasnya, sebaik gempa pertama, Tomy berlari ke arah air terjun untuk memanggil pengunjung yang tidak menyedari berlakunya gegaran berkemungkinan disebabkan sedang leka bermandi-manda.

"Saya difahamkan terdapat saksi yang melihat Tomy sempat memanggil pengunjung untuk lari menyelamatkan diri setelah berlaku gegaran yang pertama. Namun selang beberapa saat, berlaku gegaran kuat sehinggakan batu-batu di bahagian atas air terjun jatuh menggelongsor dan menghempap Tomy.

"Jika diikutkan, Tomy sempat menyelamatkan diri setelah gegaran pertama namun keprihatinan dan tanggungjawab arwah kepada orang lain telah meragut nyawanya sendiri,” katanya.

Sambil mengesat air mata dengan lengan baju, Nawari berkata, sehingga kini isterinya, Rianim, 38, tidak lena tidur kerana sering terjaga teringatkan Tomy yang disifatkan sebagai anak yang manja, cerdik dan sering menghulurkan wang kepada ibunya hasil menjadi pemandu arah.

Lebih memeritkan, mereka sekeluarga mengebumikan Tomy sehari selepas kejadian iaitu pada hari ulang tahun Tomy ke-14.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syahrir Azfar Saleh berkata, pihaknya bersetuju untuk mencari dana bagi membantu keluarga Tomy dan sepupunya Taufik yang mengalami masalah pendengaran.

Gempa bumi Ahad lepas menyaksikan Tomy dan dua rakyat Malaysia terbunuh ketika berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru dengan gempa berukuran 5.8 pada skala Richter yang menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia. – BERNAMA