Menurutnya, keprihatinan semua pihak meringankan bebanan keluarga khususnya, Raja Amirul Mukmin, 13, yang akan mendaftar sebagai pelajar baharu di Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang, 8 Januari ini.

Petang ini, keluarga berkenaan turut diziarahi Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali dan Pengerusi Kelab Volunteer I Care (VIC), Muhammad Afiq Aiman Sukry menyampaikan bantuan yang diperlukan.

Muhammad Saifullah menyerahkan dua beg sekolah, set alat tulis, stokin dan kasut hitam untuk dua beradik keluarga berkenaan selain sumbangan wang tunai bagi meringankan bebanan mereka.

Sementara itu, Muhammad Afiq Aiman turut menyampaikan kelengkapan uniform sekolah, alat tulis dan barangan keperluan dapur.

Menurut Muhammad Afiq, pihaknya akan menyediakan pengangkutan khas bagi memudahkan Raja Amirul Mukmin dan keluarganya ke sekolah berasrama penuh itu untuk menyelesaikan pendaftaran pelajar baharu pada tarikh berkenaan.

"Kita akan menyewa van atau kenderaan pelbagi guna (MPV) untuk mengambil dan menghantar pulang keluarga pelajar itu nanti.

"VIC terpanggil untuk membantu keluarga berkenaan yang hanya bergantung harap kepada sumber pendapatan bapanya sebanyak RM45 sehari yang berkerja kampung," katanya.

Katanya, keadaan dalam rumah dan struktur dinding yang asalnya adalah reban ayam organik yang dibaik pulih menggambarkan kedaifan keluarga berkenaan. - UTUSAN ONLINE