Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa yang merupakan warga emas berusia 62 tahun cedera di bahagian leher dikelar dengan senjata tajam oleh anak lelakinya berusia 33 tahun.

Mangsa dibawa ke Hospital Kemaman, Terengganu bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian, mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama dua anak lelakinya dalam lingkungan usia 30-an.

"Isterinya mangsa sedang bekerja di Kemaman dan kejadian itu hanya disedari oleh abang suspek yang ketika itu berada di dalam bilik dan melihat suspek keluar dari rumah.

"Mangsa dimasukkan ke Hospital Kemaman kerana mengalami kecederaan luka dileher sepanjang 13 sentimeter dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya di sini hari ini.

Othman berkata, sebaik menerima laporan, polis segera ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek yang sedang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran rumahnya.

"Suspek berusia 33 tahun dan tidak bekerja. Semakan rekod jenayah lampau mendapati mempunyai satu rekod penagihan dadah.

"Ujian saringan urin suspek telah diambil dan juga didapati positif dadah," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, punca kejadian masih belum dapat disahkan polis sedang mengesan senjata yang digunakan oleh saspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata," katanya. - UTUSAN ONLINE