Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau telah mendapat taklimat daripada pihak polis termasuk membaca laporan pengauditan yang telah dikelaskan sebagai dokumen terbuka semalam.

"Kita akan mengambil tindakan dan membuat laporan polis, apabila sampai tahap kita boleh membuat tangkapan, kita akan tangkap mereka yang bersalah.

"Tiada perbezaan antara orang tertentu (pangkat dan kedudukan) untuk didakwa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dalam satu kenyataan berkata, laporan pengauditan 1MDB tersebut yang  pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016 kini sudah boleh dirujuk orang ramai.

Dr. Mahathir menambah, adalah penting bagi kerajaan untuk membawa pulang wang berkaitan 1MDB dari negara-negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

"Sebab itu kita hubungi negara-negara terlibat untuk kita dapatkan semula duit yang ada pada mereka. Kita buat kenyataan bahawa wang itu milik Malaysia dan 1MDB.

"Jumlahnya agak besar dan ini akan menolong kita dalam menyelesaikan pelbagai jenis hutang," katanya.

Beliau menjelaskan, jumlah sebenar keseluruhan wang berkenaan di luar negara masih belum dapat diketahui lagi tetapi di AS sahaja memiliki jumlah terbesar iaitu AS$4.5 bilion (RM18.83 bilion).

Sementara itu Dr. Mahathir berkata terpulang kepada polis untuk memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan 1MDB.

Ditanya juga sama ada bukti mencukupi bagi mendakwa Najib, katanya, jika mempunyai bukti yang cukup, tindakan boleh diambil.

Berhubung persoalan sama ada Najib dikenakan tahanan di rumah memandangkan beliau tidak kelihatan di khalayak umum, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, bekas Perdana Menteri itu hanya tidak dibenarkan ke luar negara pada ketika ini.

"Kita akan mengikut undang-undang. Undang-undang ini tertakluk kepada semua orang termasuk Perdana Menteri," katanya.

Ditanya tentang pertemuan beliau dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, Dr. Mahathir menjelaskan, pertemuan itu adalah untuk mengetahui berhubung pemberhentiannya dan keputusan penyiasatan beliau. - UTUSAN ONLINE