Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sumbangan itu bertujuan menampung kos penerbangan dan perbelanjaan pasangan suami isteri itu ketika di Mesir.

Katanya, Mohd. Shukri Husin, 54, dan isterinya, Norhayati Jusoh@Sidek, 51, yang menetap di Kampung Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu akan berlepas ke sana esok dengan ditemani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

“Bagi pihak kerajaan negeri saya mengucapkan takziah kepada kedua ibu bapa Allahyarham Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf dan semoga mereka tabah menghadapi ujian ini.

“Prihatin dengan keadaan ini kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera bagi menanggung kos penerbangan dan perbelanjaan mereka di sana,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai di pekarangan Tabung Haji Kemaman di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan sumbangan itu kepada Maliaman.

Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan Syariah Islamiah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Safarat, Hayyu Sabi’e, Kahaerah, Mesir.

Allahyarham dikejarkan ke hospital pukul 2.07 pagi kelmarin (8.07 pagi waktu Malaysia) selepas tidak sedarkan diri dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan pendarahan otak yang dialami dan jenazahnya selamat dikebumikan di negara berkenaan sebelum Maghrib (waktu Mesir), hari sama.

Terdahulu, kisah Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf dimasukkan ke hospital tular di media sosial sejak kelmarin apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan tabung derma kilat berikutan keluarga Allahyarham memerlukan lebih RM40,000 untuk membiayai pembedahan penuntut itu.

Hanafiah memberitahu, kedua ibu bapa Allahyarham dijadualkan berlepas ke Mesir semalam tetapi berlaku kelewatan disebabkan masalah pasport dan visa.

Sementara itu, Maliaman berkata, beliau dan kedua ibu bapa Allahyarham akan berada di negara itu antara lima hingga enam hari bagi menyelesaikan beberapa urusan.

“Rancangan asalnya kita mahu ibu bapa Allahyarham berada lama di negara itu untuk menjaga anak mereka yang sakit tetapi Allah SWT lebih menyayanginya dan walaupun telah meninggal dunia, rancangan untuk ke sana tetap diteruskan.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat menziarah pusara anak mereka dan menyelesaikan beberapa perkara lain sepanjang di sana,” katanya.

Menurut Maliaman, ramai rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan ke akaun ibu bapa Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf selepas kisahnya tular hasil usaha Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilmam) dan Al-Azhar Care yang melancarkan tabung derma kilat. - UTUSAN ONLINE