Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, bantuan tersebut akan diberikan kepada semua penduduk di enam bahagian termasuk Libaran, Batu Sapi, Kota Belud, Tenom, Semporna dan Beaufort.

Katanya, bantuan berbentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan kit makanan itu diberi kepada pelajar sekolah rendah dan penduduk di semua kawasan berkenaan.

“Kita telah pergi ke 80 peratus daripada 71 kawasan yang dipilih di beberapa negeri dalam siri terdahulu. Ini adalah salah satu penanda aras parti UMNO yang boleh dinilai rakyat.

“Oleh itu apa yang kita buat secara tidak langsung memberi peluang kepada pemimpin dan jentera untuk lebih rapat dengan peringkat akar umbi,” katanya dalam majlis pelancaran UMNO Bantu Rakyat 2.0 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban.

Sebanyak 1,000 pelajar mene­rima bantuan SSPN-i berjumlah RM100,000 dalam majlis itu manakala lebih 20,000 murid dan pelajar di seluruh negara sudah menerima bantuan yang sama membabitkan peruntukan RM2 juta.

Selain itu, bantuan berupa kit makanan serta minuman berjumlah RM120,000 turut diberikan kepada penduduk Semporna.

Konvoi yang bermula semalam bergerak ke destinasi lain termasuk Tenom hari ini untuk menyampaikan bantuan kepada golongan sasar sebelum berakhir di Kota Belud pada Jumaat ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, rakyat kini semakin matang dalam memilih parti yang boleh memacu negara menjadi lebih baik serta menjaga kebajikan rakyat.

“Saya percaya rakyat lebih matang akan pentingnya untuk mengundi parti yang adil serta mempunyai rekod baik serta mempunyai masa depan cerah,” ujarnya.

Sementara itu, Nasir berkata, pelbagai bantuan yang disalurkan membuktikan pucuk pimpinan parti dan kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat, khususnya di Semporna.

Menurutnya, rakyat tidak boleh membuat pilihan yang salah kerana hanya UMNO yang boleh diharapkan untuk membantu serta menjaga kebajikan rakyat.