Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin berkata, pemandu e-hailing serta rakyat di negeri ini boleh mengambil tanggungjawab dalam memastikan layanan mesra kepada pengunjung mempromosikan destinasi pelancongan di negeri ini.

“Saya berharap masyarakat negeri ini agar tidak mengambil kesempatan terhadap pelancong yang bakal membawa kesan negatif kepada negeri ini.

"Bagi para pemandu e-hailing, bantulah mempromosi Johor supaya menarik lebih ramai kedatangan pelancong," katanya pada Majlis pelancaran Logo dan Maskot Tahun Melawat Johor 2020 di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.

Karakter Harimau Malaya yang dinamakan Joh dipilih sebagai maskot Tahun Melawat Johor 2020 manakala imej gambus diabadikan dalam logo kempen berkenaan.

Joh, iaitu singkatan dari nama Johor membawa pengertian semangat berjuang dan tidak akan menyerah kalah selain menjadi simbol keberanian dan semangat kebebasan yang dimiliki rakyat di bumi Jauhar ini.

Signifikan pemilihan imej gambus yang divisualkan menjadi logo Tahun Melawat Johor 2020 adalah kerana alat muzik tradisional alam Melayu yang mashur di negeri ini mengiringi persembahan zapin, ghazal, samrah, ghasidah serta persembahan lain yang mengasyikkan.

Pemilihan alat muzik tradisional yang sering mengiringi persembahan zapin dan sinonim dengan Johor itu juga turut mencerminkan kesungguhan negeri ini dalam memelihara khazanah warisan budaya, keunikan dan warna warni Johor.-UTUSAN ONLINE