Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kedua-dua mahasiswa itu seterusnya dibebaskan dengan jaminan polis pada pagi ini.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, sekumpulan mahasiswa yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita telah datang ke bangunan Kementerian Pendidikan untuk bertemu menterinya, Dr. Maszlee Malik bagi mendesak beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan atau Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ini kerana bagi mahasiswa-mahasiswa terbabit, perkara itu bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri yang menjanjikan autonomi serta membebaskan universiti

daripada campur tangan politik.

Rosly menambah, kumpulan mengadakan protes duduk bantah kerana tidak berpuas hati dengan perlantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM. - UTUSAN ONLINE