Kabtiah Zakariah, 65, berkata, dia masih ingat kata-kata orang istana dikenali sebagai Tok Aria yang memberitahu jika panjang umur, guru itu akan melihat Tengku Hassanal Ibrahim menjadi Waris Ganti Pahang.

“Saya tidak ingat namanya, tetapi individu ini yang sudah meninggal dunia bekerja di istana dengan gelaran Tok Aria.

“Saya berbangga kerana berpeluang melihat bekas anak murid saya menjadi Tengku Mahkota Pahang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kabtiah berkata, dia mengajar Tengku Hassanal Ibrahim bermula 2002 untuk subjek Matematik, Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Sewaktu mula bersekolah, Tengku Mahkota Pahang merupakan seorang yang pemalu dan pendiam tetapi cepat mesra dengan orang.

“Baginda juga tidak memilih kawan dan suka menolong. Apabila Tengku Hassanal Ibrahim lihat orang susah di sekolah, baginda memberikan makanan,” katanya.

Menurutnya, dia juga masih mengingati hari pertama Tengku Hassanal Ibrahim mendaftar persekolahan pada 2002.

“Pada waktu itu baginda ditemani Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

“Ia merupakan pengalaman berharga kepada saya dapat mengajar seorang anak raja yang sopan dan merendah diri,” ujarnya.