Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Siti Zulaiha Mohamad Mansor membenarkan permohonan Puan Sri Kalsom Ismail dan empat anak­nya yang berusia antara 23 dan 33 tahun selepas permohonan itu tidak mendapat bantahan daripada Aminah Abdullah, 84, selaku pemohon.

Perkembangan tersebut dimaklumkan kepada pemberita oleh peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Aminah selepas pengurusan kes di kamar hakim di sini hari ini.

Menurut Kamar Ainiah, pihak pemohon tidak mempunyai sebarang halangan untuk mana-mana waris menjadi pencelah dalam permohonan faraid tersebut yang difailkan pada 2 Mac lalu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1993.

“Permohonan faraid itu difailkan bagi menentukan bahagian-bahagian kepada waris yang berhak dalam harta pusaka milik Allahyarham Jamaludin. Malah, perkara ini telah dimaklumkan kepada balu allahyarham serta empat anak mereka.

“Antara harta-harta yang perlu dimasukkan dalam senarai faraid berkenaan adalah 20 hartanah yang terdapat di negara ini, Mekah dan Amerika Syarikat serta syarikat milik arwah sama ada di atas nama beliau atau anak-anaknya,” katanya.

Kamar Ainiah berkata, mah­kamah menetapkan 13 September ini bagi pengurusan kes selanjutnya.

Sijil Faraid merupakan satu penyata mengenai tahap-tahap pembahagian setiap waris si mati dan selepas mendapat sijil faraid berkenaan, maka harta pusaka akan dibahagi-bahagikan mengikut aturan yang termaktub.

Jamaludin, 64, terkorban akibat nahas helikopter AS365N2 Dauphin yang terhempas dan terbakar di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih di sini kira-kira pukul 4.55 petang, 4 April 2015.

Lima lagi mangsa yang terkorban ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu juruterbang, Aidana Baizieva; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Jamaludin iaitu Koperal Razakan Seran.

Kesemua mereka menaiki helikopter dari Kuantan selepas menghadiri majlis perkahwinan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.