Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan melalui pengumuman Belanjawan 2019 kepada Mara tidak berkurangan sehingga 50 peratus

sebagai mana yang didakwa oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya kata beliau, peruntukan yang disalurkan adalah hampir sama dengan apa yang telah disalurkan pada tahun 2018.

‘Pada tahun 2018, jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima oleh Mara adalah sebanyak RM3.79 bilion dengan pecahan RM3.48 bilion dibawah belanja mengurus, manakala sebanyak RM307 juta lagi adalah dibawah belanja pembangunan.

“Bagi belanjawan 2019, jumlah keseluruhan yang diumumkan oleh pihak kerajaan adalah berjumlah RM3.705 bilion dengan pecahan RM1.3 bilion dibawah belanja mengurus, manakala RM2.4 bilion di bawah belanja pembangunan.

“Berdasarkan kepada angka ini, peruntukan MaraA tidaklah berkurangan sebanyak 50 peratus seperti yang didakwa, sebaliknya Mara mendapat peruntukan yang hampir sama seperti tahun 2018,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, peruntukan kerajaan kepada sesebuah agensi perlu dilihat secara menyeluruh meliputi belanja mengurus dan belanja pembangunan.

Dalam belanjawan 2019 kata beliau, wujud penstrukturan semula belanjawan Mara di mana peruntukan bagi program penganjuran pelajaran Mara sebanyak RM2.057 bilion dipindahkan ke bawah belanja pembangunan.

Pada tahun 2018 katanya, penyaluran peruntukan bagi program tersebut diletakkan di bawah belanja mengurus.

“Kekeliruan yang ditimbulkan ini tidak sepatutnya berlaku jika Belanjawan 2019 yang diedarkan dibaca secara menyeluruh.

‘Kerajaan Pakatan Harapan sememangnya sentiasa prihatin dengan keperluan untuk membangunkan Bumiputera terutamanya program-program yang dilaksanakan di bawah MARA

“Sebagai sebuah agensi yang ditubuhkan khusus untuk membantu dan memajukan ekonomi Bumiputera, kerajaan sama sekali tidak akan mengurangkan peruntukan, sebaliknya kementerian akan terus berusaha untuk memastikan program

bagi pembangunan Bumiputera terutamanya diluar bandar dan masyarakat B40 sentiasa diperluaskan,” katanya.