Larangan tersebut termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

TNB menerusi kenyataan memberitahu, perbuatan tersebut amat berbahaya dan berisiko mengakibatkan renjatan elektrik dan percikan arka(flashover) yang bukan sahaja boleh merosakkan harta benda malah mengancam nyawa.

“Pemasangan bahan-bahan kempen tersebut juga boleh menghalang pekerja TNB untuk mendapat akses bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, di bawah peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), pelaku perkara tersebut juga boleh didakwa dan jika didapati bersalah turut akan didenda.

“Sebagai langkah pencegahan, TNB menerusi rondaan rutin akan menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

“TNB memohon jasa baik orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik supaya segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.-UTUSAN ONLINE.