Ini kerana kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati kandungan garam atau natrium dalam papadum terlalu tinggi sehingga ke tahap memudaratkan kesihatan.

Presiden CAP, S. M. Moha­med Idris berkata, kajian pihaknya ke atas 11 keping papadum dari beberapa restoran berbeza mendapati kandungan garamnya adalah sekitar 1,000 miligram (mg), malah ada yang mencecah sehingga 2,000 mg.

Tambah beliau, jumlah itu jauh lebih tinggi daripada had pengambilan garam dalam makanan seharian yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu tidak melebihi 2,000 mg.

"Walaupun papadum dianggap tidak memudaratkan tetapi jika dimakan berlebihan doh yang digunakan dalam pembuatannya boleh melekat pada usus dan menyebabkan sembelit.

"Kajian juga menunjukkan apabila papadum dipanggang atau digoreng, berkemungkinan karsinogen dan bahan penyebab kanser terbentuk akibat kandu­ngan garam alkalinya atau nat­rium benzoid,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut S. M. Mohamed, kajian itu dilakukan pihaknya selepas menerima laporan daripada pengunjung restoran di sekitar negeri ini yang mengadu papadum dijual terlalu masin.

Sehubungan itu, beliau meng­gesa pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan memainkan peranan termasuk menetapkan kadar selamat penggunaan garam dalam penghasilan papadum.

Selain itu katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga perlu memeriksa semua papadum yang diimport bagi menentukan paras garam di dalamnya supaya tidak memudaratkan orang ramai.