Menurut Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Ashraf Mustaqim, antara punca yang dapat dikenal pasti adalah kerana dasar pendidikan sekarang tidak menyemai jati diri nasional.

"Oleh kerana tiada doktrin, pendidikan kebangsaan yang tidak kukuh gagal menanam semangat nasional di dalam jati diri anak muda masa kini," kata Ashraf pada program penerangan hasil kajian penolakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Wisma MPM, hari ini.

Beliau mencadangkan, para NGO yang giat memperjuangkan hak bahasa dan budaya Melayu perlu menggandakan usaha dalam mendekati golongan anak muda supaya semangat tersebut dapat diresapi dan difahami.

"Antaranya, adakan program pengkaderan di universiti dan sekolah bagi mendekati anak-anak muda ini, dan tanamkan sifat kesedaran di dalam jati diri mereka," tambah Ashraf.

Beliau turut menambah, segala usaha dalam memperjuangkan kedaulatan bahasa dan budaya Melayu perlu melangkau batas kepartian kerana semangat nasional adalah apolitikal.

Program anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) ini merupakan susulan kepada pengumuman Perdana Menteri Mac lalu bahawa kerajaan akan mengambil pendekatan membenarkan PPSMI di sekolah namun pada masa sama pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan tetap diteruskan.

Antara yang hadir termasuk Setiausaha Agung MPM, Datuk Hasan Mad; Perunding Bahasa MPM, Datuk Dr. Awang Sariyan; Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin dan mantan Pengarah Pengasas Institut Sel Fuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Wan Ramli Wan Daud.

Sebagai rekod, PPSMI dimansuhkan mulai tahun 2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah setelah mendapat kecaman parti politik, ibu bapa cendekiawan, gerakan pelajar dan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan di negara ini.

Sementara itu, satu perhimpunan mega akan disertai 35 badan bukan kerajaan (NGO) dianjurkan bagi menuntut kerajaan agar tidak melaksanakan semula PPSMI. - UTUSAN ONLINE