Sementara kita amat wajar mengetahui pelbagai budaya dunia sebagai sebuah bangsa bertamadun dan berperadaban namun semua warga negara Malaysia wajib melaksanakan obligasi, tanggungjawab dan kewajipan sebagai bangsa Malaysia di dalam Bahasa Kebangsaan Malaysia, yakni bahasa Melayu.

Hal itu adalah tuntutan undang-undang negara, bukan berasaskan perasaan atau tuntutan psikologi kaum seperti yang mahu diajukan oleh setengah pihak.

Dalam semua tindakan, setiap warganegara wajib memuliakan dan mendahulukan segala pemikiran, gagasan dan tindakan melalui bahasa kebangsaan, jika benar-benar dia seorang warganegara yang mendapat status itu berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan segala undang-undang kerakyatan yang terbit daripadanya.

Dalam rangka inilah wajib dan menjadi obligasi setiap orang warganegara untuk mengikut undang-undang dan peraturan yang telah termaktub berkaitan Bahasa Kebangsaan terutama papan-papan tanda dan iklan yang dipaparkan kepada masyarakat awam dan di tempat-tempat awam.

Ke mana sahaja kita berada kini, negara ini disimbah amat luas dengan papan tanda dan iklan dalam bahasa asing yang terang-terang melanggar dan memunahkan undang-undang tentang Bahasa Kebangsaan, terutama Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152.

Lebih buruk lagi pelanggaran yang menjolok mata oleh papan-papan tanda di merata kawasan dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan bebas dan tidak dikenakan hukuman dan tindakan penghapusan terhadap pelanggaran undang-undang oleh PBT itu sendiri.

Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar tahun 2009 dengan amat jelas menetapkan kaedah serta kuat kuasa melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan garis panduan ini dengan mensyaratkan setiap papan iklan hendaklah menggunakan bahasa Melayu sama ada dengan sepenuhnya atau bersama-sama dengan mana-mana bahasa lain.

PBT mempunyai hubungan langsung yang erat dengan semua undang-undang kecil iklan yang diwujudkan melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) meletakkan syarat bahawa bahasa iklan ialah bahasa Melayu dan keutamaan harus diberikan dari segi saiz, warna dan kejelasan.

Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa Melayu yang betul dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang kecil hampir di semua PBT di Semenanjung Malaysia.

Dengan demikian MPM menuntut bukan sahaja PBT bertindak tegas terhadap semua papan tanda dan iklan yang melanggar undang-undang serta peraturan yang tetap ini bahkan semua warga Negara Malaysia bertindak menghapuskan segala macam papan tanda dan iklan yang songsang serta jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara serta undang-undang terutama dalam budaya ‘rule of law’ (kedaulatan undang-undang) masa kini.

Malah siapa sahaja yang mencadangkan usaha serta tindakan peribadi serta kelompok dan organisasi, baik pertubuhan awam mahupun politik, yang jelas menentang peruntukan undang-undang negara wajib disanggah sekerasnya, dituntut di mahkamah untuk dihukum dan dilaknat sebagai petualang ekstremis yang menentang sempadan yang ditetapkan oleh undang-undang untuk menghempas perpaduan bangsa.

Perbuatan seperti itu adalah tindakan serta gerakan ekstremis yang mencabul hak semua warga negara yang inginkan keamanan, keharmonian dan perpaduan bangsa. Siapa sahaja atau apa saja organisasi yang mengangkat diri atau kaum dalam rangka keagungan budaya sempit mereka di dalam rangka undang-undang tubuh negara adalah merupakan golongan pengkhianat yang membina pandang alam atau ‘weltenschaung' cauvanis yang amat kejam ke dalam minda anak-anak warganegara Malaysia.

Sikap yang mahu kekal dalam zaman penjajahan kuno dalam Malaysia alaf baharu ini adalah amat keji. Malaysia alaf baharu adalah pegangan dan penjelmaan teguh terhadap semua peruntukan perkara-perkara undang-undang dasar negara dengan seutuhnya.

Setiap orang Malaysia adalah ditakrif oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang kerakyatannya, bukan oleh sebarang parti politik.

Golongan yang melampaui batas undang-undang adalah pelampau; dah pelampau terhadap perundangan negara tidak wajar mendapat status warganegara Malaysia apa lagi hidup dengan senang lenang dan mewah di sini. Setiap warga wajib memikirkan hal ini demi keutuhan dan kelangsungan hidup bersama.

* Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia