Titah baginda, mereka akan lebih memandang tinggi sekiranya kita mampu melontarkan idea serta berkongsi pendapat mengenai sesuatu isu dalam ‘bahasa pengantara’ berkenaan.


Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyampaikan sijil penghargaan kepada dua orang penceramah undangan berasal dari Kanada, iaitu Robert Litowski dan isteri beliau Tana Litowski yang menyampaikan ceramah motivasi bertopik ‘Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Anda’ bersempena program ‘Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) di Ballroom, Rainbow Paradise Beach Resort, Tanjung Bungah, Pulau Pinang petang tadi.


Program tahunan tersebut adalah anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


Hadir sama Ketua Pegawai Penyelaras program, yang juga Setiausaha YTSP Perlis Datuk Johari Mohd Darus dan timbalan ketua penyelaras, Kapten Azuan Mohamad Nasir.


Tambah baginda lagi, “Percayalah bahawa akan ada lebih banyak peluang yang terbentang luas di hadapan kita. Sebagai contohnya, kenaikan pangkat, peluang pekerjaan di tempat yang lebih baik, peluang perniagaan dan sebagainya”.


Justeru itulah, baginda menyeru kepimpinan di setiap peringkat memikirkan strategi bagi melaksanakan pelan-pelan tindakan bagi membantu warga masing-masing untuk menguasai bahasa antarabangsa ini.


Turut melaksanakan program yang sama dalam kumpulan yang dipecahkan kepada dua dengan Robert dan Tana yang merupakan pengasas Pusat Bahasa Sinar Global ‘myTESOL English Centre’ yang beroperasi di Pulau Pinang itu ialah program yang dikendalikan oleh Affendi Rajini Kanth dan Hakim Khan Mohamad Khan.


Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor turut menyampaikan ceramah beliau berjudul ‘Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia’.


Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk memberi panduan kepada peserta mengenai teknik pembelajaran yang berkesan dan pemilihan kerjaya di masa hadapan. - UTUSAN ONLINE