Dinamakan sebagai Bagan Datoh Water City (BDWC), pembangunannya yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pekan Bagan Datoh sedia ada, bakal direncanakan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), justeru melon­jakkan pertumbuhan ekonomi di Wilayah Perak Selatan (WPS).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagi fasa pertama, pembangunan tersebut menempatkan 12 projek institusi kerajaan di kawasan seluas 97 hektar.

“Institusi tersebut melibatkan Kompleks Pentadbiran Daerah Bagan Datoh, Kompleks Pejabat Kerajaan Persekutuan, Masjid Daerah, Sekolah Mene­ngah Tahfiz Darul Ridzuan, Perumahan Felcra, Hotel Seri Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah, balai bomba, pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, projek perumahan rakyat, Kem Askar Wataniah dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).

“Bagi merancakkan pembangunan di daerah Bagan Datoh, kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) telah meluluskan sebanyak RM613.76 juta melibatkan enam projek yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2017 negeri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di sini hari ini.

Enam projek berkenaan merangkumi Kompleks Sukan Bagan Datoh (RM31 juta), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datoh (RM110 juta), pe­nempatan semula Pusat Giat Mara Bagan Datoh (RM7.78 juta), pembinaan Jambatan Bagan Datoh ke Kampung Sejagop (RM350 juta), naik taraf laluan FT69 Simpang Empat ke Bagan Datoh (RM106 juta) serta penutupan muara Parit A dan B bagi pengawalan hakisan di Sungai Belukang (RM8.98 juta).

Dalam perkembangan ber­kaitan, Zambry berkata, dalam usaha menarik lebih banyak pelabur ke Perak, kerajaan negeri menawarkan remisyen sebanyak 25 peratus daripada kadar premium dikenakan bagi pelupusan tanah kerajaan atau tukar syarat tanah untuk tujuan pembangunan industri dan perumahan.

Menurut beliau, insentif berkenaan akan dilaksanakan untuk tempoh dua tahun bermula Januari 2017 sehingga Di­sember 2018.

Selain itu, katanya, kemudahan infrastruktur melibatkan projek sambungan paip gas asli dari Ayer Tawar, Manjung ke Lembah Kinta yang telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri itu akan dimulakan pada awal 2017 serta dijangka mengambil masa selama 24 bulan untuk disiapkan.

“Projek yang menelan belanja RM180 juta ini dibiayai melalui kerjasama tiga pihak iaitu kerajaan Persekutuan (RM50 juta), kerajaan negeri (RM10 juta) dan Gas Malaysia Berhad (RM120 juta),” katanya.