Azhar Abdul Hamid
Azhar Abdul Hamid 

Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, FGV pada masa ini berada di bawah kepemimpinan lembaga pengarah yang mengamalkan pengurusan yang profesional demi kebaikan semua pemegang saham dan masa depan syarikat.

Tegas beliau, tata urus yang diamalkan kini jelas menekankan bahawa setiap keputusan yang dibuat merupakan hasil bersama yang diputuskan oleh lembaga pengarah.

“Setiap keputusan yang diambil, dibuat bersama sebagai satu lembaga pengarah. Itu tata urus FGV sekarang.

“Apa yang bergolak? Tata urus di bawah pimpinan lembaga pengarah yang hampir baharu mengutamakan pengurusan yang profesional dan cekap demi kebaikan semua pemegang saham dan masa depan FGV,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda, Mazlan Aliman yang mendakwa FGV kini sedang berhadapan dengan kemelut dalaman membabitkan Azhar dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad.

Azhar yang juga bekas Pe­ng­a­­rah Urusan Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff), dilantik menjawat jawatan itu pada 8 September 2017.

Mazlan Aliman
Mazlan Aliman 

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar, Mazlan berkata, pertelingkahan melibatkan ke­dua-dua tokoh ter­tinggi dalam FGV itu akan menda­tangkan kesan le­bih buruk kepada syarikat berikutan prestasi semasa yang tidak menentu dan harga saham yang rendah iaitu RM1.51 seunit.

Sehubungan itu, tegas beliau, campur tangan kerajaan bagi menyelesaikannya adalah perlu, de­ngan pengurusan tertinggi Felda wajar mengambil iktibar daripada krisis yang berlaku pada tahun lalu antara Zakaria dengan bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad.

“Kami memohon kedua-dua tokoh tertinggi FGV ini menyelesaikan isu-isu antara mereka berdua secara baik.

“Dalam situasi prestasi semasa FGV yang tidak menentu dan harga saham yang rendah, kemelut yang berlaku pastinya akan memburukkan lagi keadaan,” ujarnya yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Yang turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Penasihat Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F), Datuk Zulkefli Nordin; Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Fakhrurrazi Mohd. Habib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Muhamad Said Jonit.