Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, tidak patut ada yang sengaja memejamkan mata untuk membantu kerana jasa akhbar berkenaan sangat besar terhadap orang Melayu dan negara.

Beliau berkata, akhbar itu menjadi barisan hadapan memperjuangkan dan mempertahankan ketuanan Melayu, tulisan Jawi serta 'tiang seri negara' daripada digoncang pihak tertentu sejak dahulu.

"Di manakah wadah perjuangan dan suara orang Melayu sekiranya Utusan Malaysia hilang dalam dunia persuratkhabaran yang menjadi penyambung lidah Melayu di negara ini?

"Ayuh bersatu mempertahankan syarikat akhbar berbahasa Melayu berusia 80 tahun ini," katanya di sini.

Abdullah yang juga bekas Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, kejatuhan akhbar Melayu ibarat membunuh jiwa masyarakat itu sendiri kerana 'Utusan adalah kita dan kita adalah Utusan' yang mencorakkan pemikiran orang Melayu.

Tambah beliau, penubuhan Tabung Selamatkan Utusan yang dikendalikan warga

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) sendiri adalah alternatif paling berkesan untuk dilaksanakan sebelum tindakan-tindakan susulan diambil.

"Jika dahulu akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! menjadi media utama mengutip derma untuk pesakit kronik dan bencana luar negara tetapi kini Kumpulan Utusan perlukan sokongan rakyat bagi meneruskan operasi.

"Orang Melayu tidak harus melihat kejatuhan akhbar Melayu tersohor itu tanpa rasa bersalah atau tiada kaitan dengan mereka sendiri kerana akhbar ini membawa suara dan kepentingan Melayu serta bumiputera," ujarnya.

Menurutnya lagi, jika akhbar Kumpulan Utusan tiada lagi di pasaran ia bagaikan pedang yang menghiris keringat dan jiwa Melayu apatah lagi berlaku pada Bulan Kemerdekaan.

"Pejuang bahasa dan kemerdekaan negara yang masih hidup sudah tentu menangis melihat nasib Utusan Malaysia yang banyak berjasa meniupkan semangat pejuang menuntut kemerdekaaan.

"Perlu diingat jika terkuburnya Utusan Malaysia, bermakna tiada lagi wadah ampuh bagi orang Melayu sendiri untuk menyuarakan kepentingan Melayu dan Islam di negara ini," katanya. - UTUSAN ONLINE