Itulah antara aktiviti yang dilakukan pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Laman Perikanan, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Ujar seorang pengunjung, Muhd. Ramli Isa, dia memilih untuk memancing udang galah kerana tawaran harga yang dikenakan agak murah.

“RM10 untuk sejam. Bagi saya ia berbaloi. Maklumlah sudah penat berjalan ke sana ke mari. Sekarang masa untuk berehat seketika.

“Lagi pun saya memang kaki pancing. Pantang nampak joran tergantung, terus rasa gian untuk meraih hasil tangkapan itu melonjak-lonjak,” katanya kepada Utusan Online, dekat sini.


Sementara itu, seorang penolong pegawai perikanan Jabatan Perikanan Malaysia, Mohamad Zabawi Saat, aktiviti memancing udang galah memang menjadi antara tarikan pengunjung di Laman Perikanan.

“Memandangkan hari ini hari terakhir MAHA 2018, datanglah berkunjung ke kolam memancing di sini sementara masih berkesempatan,” katanya.

Selain menyediakan aktiviti untuk golongan dewasa, MAHA 2018 sesekali tidak meminggirkan golongan anak-anak yang mengikuti ibu bapa mereka.

Ujar rakan Zabawi, Faizah Nor Mohamed yang juga merupakan penolong pegawai di jabatan yang sama, kepada golongan bapa yang sibuk memancing di kolam udang galah tidak perlu risau cara untuk menghilang rasa bosan kepada anak-anak.

“Mereka boleh bermain dan menyauk ikan hiasan dari kolam MyGAP yang disediakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan menerusi aktiviti ini, golongan muda dapat mengasah daja penglihatan serta ketangkasan mereka walaupun hanya menerusi aktiviti menangkap ikan,” katanya.

Seorang pengunjung lain, Zaimah Hussin, pula berkata, dia yang kurang berminat dengan aktiviti memancing membiarkan suaminya meluangkan masa di kolam memancing udang galah yang hanya bersebelahan dengan tapak permainan sauk ikan.

“Yang penting, ada aktiviti untuk anak-anak dan bagi saya secara peribadi, MAHA 2018 memang sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.

MAHA 2018 telah berlangsung sejak 22 November lalu dan akan berakhir pada hari ini. - UTUSAN ONLINE