Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, murid akan disemai dengan nilai-nilai murni agar mereka membesar sebagai insan yang dipenuhi dengan pelbagai moral serta sikap yang dapat membentuk mereka menjadi insan berjaya kelak.

MASZLEE MALIK
MASZLEE MALIK 

"Kementerian akan membuat keputusan rasmi dan mengeluarkan garis panduan dalam masa terdekat untuk pelaksanaan sistem pentaksiran baharu itu. Usaha ini juga selari dengan falsasah pendidikan negara di era Malaysia baharu.

"Penilaian yang dibuat adalah untuk kemenjadian murid dan bukannya untuk dibentangkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau nazir," katanya dalam video berdurasi 5.45 minit yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut Maszlee, penilai­an itu dibuat bagi memastikan murid darjah satu, dua dan tiga dipenuhi dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan selain dalam masa yang sama melatih mereka kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan juga manusiawi.

Selain itu katanya, seperti yang dijanjikan, tugas guru akan diringankan menjelang 2019 supaya guru dapat mendidik, menyemai nilai-nilai murni dan menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran kepada sesuatu yang menye­ronokkan dan ceria.

"Melalui sistem ini, kita akan lakukan latihan dalam perkhidmatan secara berterusan untuk melatih para guru dengan pendekatan yang baharu dan apa yang penting saya tidak mahu guru-guru terbeban kerana kita mahu mereka kembali kepada tugas asal iaitu mendidik.

"Penilaian dalam sistem baharu ini adalah untuk kemenjadian murid, oleh itu setiap kelebihan dan kelemahan mereka akan dikongsikan dengan ibu bapa demi menjadikan murid tersebut lebih baik dan bukan untuk guru-guru dinilai pula oleh pihak atasan," katanya.