Antaranya adalah Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman, KD Jebat, KD Kasturi, KD Laksamana Muhammad Amin, KD Lekir, KD Ledang, KD Pendekar dan Bunga Mas 6.

Sementara itu, sebanyak 16 aset maritim negara asing difahamkan sedang dalam perjalanan mereka ke pulau legenda tersebut.

Aset-aset maritim negara asing itu termasuklah kapal Amerika Syarikat, Shiloh; kapal pemusnah milik Rusia, Admiral Panteleyev; Kapal Diraja Singapura, Stalwart; kapal laut India, Kamorta; kapal pemusnah Korea Selatan, Chungmugong Yi Sun-sin dan Kapal Diraja Brunei, Darulehsan.

Segmen maritim pada LIMA 2015 yang berlangsung pada Selasa hingga 21 Mac ini menampilkan penglibatan aset maritim lebih besar berbanding penganjurannya pada 2013.

Pada LIMA 2013, TLDM menghantar lapan asetnya manakala negara-negara asing menghantar 11.

Sementara itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, penglibatan aset-aset yang sebegitu banyak pastinya membawa elemen-elemen kejutan dan gimik tarikan pada LIMA kali ini.

Katanya, sinergi buat julung kalinya antara TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk pembukaan khemah kerjaya juga dilihat mampu mempertingkatkan sambutan pengunjung pada segmen maritim.

“Pada segmen maritim, pengunjung akan dapat melihat sendiri secara lebih dekat tentang operasi am dan peranan anggota TLDM menerusi aktiviti mari­tim yang dipersembahkan pada LIMA kali ini.

“Perkhidmatan feri ulang-alik turut ditawarkan secara percuma kepada pengunjung bagi melawat kawasan kapal-kapal tentera laut antarabangsa yang bersauh di Porto Malai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.