Tajuddin Yahya

Bekas Pegawai Memerintah Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja (KD) Sri Rejang, Kepten (B) Tajudin Yahya berkata, sejarah membuktikan walaupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai keterbatasan aset dan persenjataan, anggota­nya tetap berjaya mengukir kejayaan dalam setiap misi seperti ketika era ancaman komunis, konfrontasi Malaysia-Indonesia serta beberapa operasi antarabangsa.

Menurutnya, kekuatan sebenar seorang perajurit adalah moral tinggi serta kemahiran mengawal situasi tanpa hanya bergantung kepada kemampu­an persenjataan.

“Kemampuan sesuatu ang­katan pertahanan itu hanya dapat diketahui dan dinilai apabila mereka menang atau kalah dalam peperangan. Meskipun ada ribuan aset canggih ia tidak bermakna sesebuah negara itu kedudukannya adalah terbaik.

“ATM berjaya menghapuskan komunis dan dunia sendiri mengiktiraf kemam­puan kita dalam misi-misi antarabangsa.

“Janganlah jatuhkan moral anggota kerana mereka ikhlas dan rela bertugas walau dalam apa juga keadaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berkata demikian ketika diminta me­ngulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menyifatkan kedudukan pertahanan negara pada kedudukan tercorot.

Kelmarin, di Dewan Rak­yat, Mohamad berkata, situasi itu berbeza dengan kedudukan Malaysia yang berada di tangga teratas pada 1970-an.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Kementerian Pertahanan, Amin Iskandar dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa, Ahli Parlimen Kota Raja itu tidak memaksudkan kemampuan dan keupayaan ATM adalah lemah berban­ding negara serantau.

Katanya, barisan pertahanan negara sentiasa dalam keadaan siap siaga dan dilihat mampu mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan dan ancaman.

“Bagaimanapun, terdapat keperluan bagi ATM memperkasakan aset-aset ketenteraan agar sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa,” ujarnya.