Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) agensi itu, Datuk Ahmad Fuzi Ab. Kahar berkata, perjanjian pembinaan kapal itu telah ditandatangani semalam sempena penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015.

Katanya, langkah itu selaras de­ngan kawasan tanggungjawab agensi tersebut yang luas kerana lebih dua kali ganda daripada kawasan daratan dan juga dalam memastikan aset-aset negara seperti pelantar minyak terpelihara keselamatannya.

Tambahnya, dengan aset dan kemampuan perjawatan sedia ada agensi tersebut yang disifatkan sederhana, mereka masih mampu memberi komitmen tinggi terhadap tanggungjawab menjaga kepenti­ngan negara di laut dan juga daripada pencerobohan pihak asing.

“Perjawatan Maritim Malaysia ketika ini kira-kira 5,000 orang dan kita telah mencadangkan kepada kerajaan agar jumlah itu dipertingkat sehingga 10,000 orang,” kata­nya ketika ditemui di Pusat Pame­ran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Menurutnya, Maritim Malaysia bermula dengan perjawatan yang sederhana dan aset terpakai yang diberikan oleh pelbagai agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam, Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut.

Ahmad Fuzi berkata, kehadiran Maritim Malaysia kini semakin dirasai oleh masyarakat maritim ekoran kejayaan agensi itu dalam menangani jenayah di kawasan laut, pencerobohan nelayan asing dan menjaga keselamatan aset negara sehingga negara seperti Jepun, Kanada dan Australia turut memberikan bot dan kapal mereka untuk memperkukuhkan operasi Maritim Malaysia.

“Kehadiran Maritim Malaysia dalam menjaga perairan negara juga dapat menegakkan kedaulatan negara apabila kita berjaya menolak hasrat pihak tertentu yang mahu menempatkan angkatan laut mereka di Selat Melaka yang merupakan laluan kapal dagang antarabangsa,” ujarnya.

Sejak ditubuhkan katanya, Maritim Malaysia telah berjaya merampas sebanyak 720 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dengan 200 daripadanya dilupus dan dijadikan tukun tiruan di dasar laut, sekali gus membantu memperkayakan lagi sumber laut negara.

Selain itu katanya, Maritim Malaysia juga telah melaksanakan sebanyak 3,600 operasi mencari dan menyelamat sejak tahun 2006.

Ditanya mengenai penglibatan Maritim Malaysia dalam LIMA 2015, Ahamd Fuzi berkata, agensi itu terlibat dalam keseluruhan program walaupun demonstrasi aset dilihat kurang berbanding penganjuran sebelum ini.