Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada negara atau rantau yang mampu menangani cabaran dalam dunia tanpa sempadan itu secara bersendirian.

Katanya, kerjasama di dalam ASEAN akan menjadikan rantau itu lebih kuat sebagai satu komuniti yang berkongsi matlamat dan harapan sama.

“Masa depan keamanan dan pembangunan ASEAN bergantung kepada keputusan dan tindakan kita hari ini,” katanya ketika ber­ucap dalam majlis makan malam sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-9 di sini, hari ini.

Mesyuarat itu berlangsung sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 yang akan bermula Selasa ini sehingga 21 Mac.

Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Pertahanan Indonesia, Jen. Ryamizard Ryacudu; Menteri Pertahanan Kemboja, Jen. Tea Banh; Menteri Pertahanan Thailand, Jen. Prawit Wongsuwon dan Menteri Pertahanan Vietnam, Jen. Phung Kuang Thanh.

Tambah Hishammuddin, sejak bermulanya ADMM, ia telah membangun dalam rangka kerja yang signifikan untuk membincangkan isu-isu keselamatan dan pertahanan ASEAN.

“ADMM terbukti menjadi landasan terbaik meneruskan pe­ranannya merangka keselamatan rantau sejagat,” katanya.

Pada akhir mesyuarat tersebut esok, menteri-menteri terlibat akan menandatangani Deklarasi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN: “ASEAN: Mengekalkan Keselamatan dan Kestabilan Serantau Untuk Rakyat dan Oleh Rakyat”.

Sementara itu, ADMM yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini membincangkan isu-isu keselamatan dan kedaulatan sera­ntau termasuk ancaman antarabangsa seperti kumpulan militan Negara Islam (IS).

Turut dibincangkan adalah kepentingan memberi tumpuan terhadap kerjasama menangani isu-isu bantuan bencana kemanusiaan disebabkan negara-negara ASEAN tidak pernah sunyi daripada bencana dan tragedi.

Mesyuarat tersebut juga dijang­ka mewujudkan angkatan ke­amanan dalam kalangan negara ASEAN, iaitu satu bentuk kerjasama ketenteraan termasuklah latihan bersama.