Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, rakan sejawatan beliau dari sembilan negara anggota ASEAN sependapat bahawa kerjasama lebih meluas perlu diwujudkan bagi menentang ancaman itu.

Hishammuddin berkata, mereka mengambil serius tentang kewujudan ancaman militan IS yang pengaruhnya semakin berkembang dan meluas di rantau ini.

“Menteri-menteri Pertahanan ASEAN juga berkongsi pandangan bahawa punca berlakunya ancaman itu perlu dikenalpasti,” katanya dalam sidang akhbar bersama dengan Menteri-menteri Pertahanan ASEAN yang lain di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang diadakan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015.

Hishammuddin menambah, mereka juga berpendapat orang ramai sepatutnya dididik supaya tahap kesedaran tentang ancaman IS dapat ditingkatkan.

“Kerjasama untuk menangani ancaman keselamatan itu juga perlu melibatkan perkongsian maklumat perisikan dan pengawasan terhadap perkembangan IS,” ujarnya.

Mengenai ADMM kesembilan itu, Hishammuddin yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, kesemua 10 Menteri Pertahanan negara anggota menghadirinya termasuk Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN, Le Luong Minh.

Katanya, mesyuarat juga membincangkan perkembangan terkini serantau dan kertas kerja Malaysia mengenai penubuhan angkatan tentera ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana serta garis panduan terhadap mesyuarat ADMM-Plus.

Katanya, Thailand pula mengemukakan kertas kerja mengenai penubuhan Pusat Perubatan Tentera ASEAN.

Mesyuarat tersebut berakhir dengan kesemua menteri terlibat menandatangani deklarasi bersama dengan tema ASEAN: Mengekalkan Keselamatan dan Kestabilan Serantau Untuk Rakyat dan Oleh Rakyat.

Hishammuddin turut menyerahkan deklarasi itu kepada Luong Minh.