Perkara itu dipersetujui selepas Korea Utara dan Korea Selatan mengadakan dialog rasmi kelmarin iaitu buat pertama kali sejak lebih dua tahun lalu.

Presiden AS, Donald Trump menerusi perbualan telefon dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memberi jaminan bahawa tiada tindakan ketenteraan akan diambil ketika perbincangan dengan Korea Utara diteruskan.

“Siapa tahu apa yang akan berlaku selepas ini? Saya berharap semoga persetujuan perbincangan ini akan menuju kejayaan untuk dunia dan bukan hanya untuk AS. Kita akan tahu apa yang bakal berlaku dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang,” katanya kepada media selepas menelefon Jae-in.

Trump turut memaklumkan rakan sejawatnya itu memberi gambaran rundingan yang dilakukan oleh Korea Utara dengan Korea Selatan setakat ini berjalan lancar.

Selain itu, Trump turut mengaku negara ini mempunyai masalah dengan Korea Utara namun menggambarkan banyak rundingan dilakukan antara kedua-dua negara ketika ini.

“Saya berharap lebih banyak perkara yang baik akan berlaku selepas ini dan saya rasa kita semua akan memperoleh kedamaian melalui kekuatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Trump dan Jae-in memaklumkan bahawa dialog yang diadakan secara tidak langsung akan membawa kepada perbincangan antara AS dan Korea Utara mengenai membebaskan kuasa nuklear dari Semenanjung Korea selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang.

Sementara itu, menerusi sesi dialog yang diadakan kelmarin, Korea Utara bakal menyertai Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan dan kedua-dua negara bersetuju untuk menyelesaikan masalah di antara mereka termasuk isu ketenteraan bagi mengelakkan sebarang konflik.

Bagaimanapun, Pyongyang menegaskan dialog berkenaan tidak akan membincangkan tentang isu senjata nuklear kerana sasaran mereka hanyalah AS dan tidak melibatkan Korea Selatan, Rusia dan China. – REUTERS