Selain AS dan Malaysia, tujuh lagi negara paling banyak sertai World #QuranHour adalah Indonesia, India, Pakistan, Arab Saudi, United Kingdom, Mesir dan Azerbaijan.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program yang dijalankan menunjukkan satu gelombang yang baik di seluruh dunia.

Beliau malah memberitahu, kini sebanyak 79 lokasi dari 28 buah negara menyertai program berkenaan.

“Ini adalah statistik yang kita tahu yang berdaftar dengan kita. Di Malaysia yang berdaftar dengan WUIF dalam 2,000 lebih sahaja lokasi. Tetapi yang betul-betul buat merata dan serata.

“Kebanyakan penyertaan World #QuranHour di luar negara adalah merupakan rakyat Malaysia yang tinggal di sana dan mereka yang merupakan alumni-alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program World #QuranHour di Masjid Haji Sultan Ahmad Shah, UIAM, Gombak, dekat sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat ke program berkenaan tengah hari tadi.

Turut mengiringi Sultan Nazrin ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Tambah Hussamuddin, capaian media sosial menerusi tanda pagar #QuranHour juga sudah melebihi 1.4 bilion setakat pukul 8 malam tadi.

“Tahun lepas, capaian media sosial mencapai sebanyak 646 juta orang,” katanya.

Menurut Hussamuddin, beliau menggalakkan pemimpin-pemimpin negara, negeri, korporat dan sebagainya menganjurkan bacaan al-Quran di tempat masing-masing.

Katanya, ini kerana al-Quran adalah untuk semua dan ayat-ayatnya sesuai dengan peranan mereka. - UTUSAN ONLINE