Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu seramai 48 pelajar anak negeri telah berjaya memperoleh tajaan pendidikan dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab di tujuh universiti di sana iaitu Universiti Ummul Qura Mekah, Universiti Islam Madinah, Universiti King Abdulaziz, Universiti King Saud, Universiti Islam

Imam Muhammad Ibn Saud, Universiti Riyadh dan Universiti King Faisal.

Katanya, baki 52 biasiswa lagi masih dibuka kepada anak negeri yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Petroleum dan Mineral King Fahd.

“Biasiswa itu ditawarkan kerajaan Arab Saudi menerusi pertemuan antara pihak Exco dengan pihak kedutaan di Kuala Lumpur baru-baru ini bagaimanapun, mereka (Arab Saudi) mahu memberikan fokus terhadap pengajian mekanikal.

“Mana-mana pelajar yang hendak mengambil peluang ini tentunya bagus kerana industri minyak dan gas sangat besar di Arab Saudi dan selain belajar mereka juga boleh mendapatkan latihan industri di sana,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu ke-40 dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2018 kepada 493 pelajar di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.

Ahmad Samsuri memberitahu, pelajar yang berminat untuk memohon biasiswa itu boleh menghubungi Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk maklumat lanjut dan tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Jun depan.

Dalam majlis itu, Amirah Husna Abdul Kahar, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) yang memperoleh 9A+ dalam SPM 2018 dan Muhammad Hilman Nor Azmi, bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu yang mendapat 11A+ meraih Anugerah Pingat Emas dengan setiap seorang menerima wang tunai RM4,000, sehelai blazer, seunit komputer tablet dan sijil penghargaan.

Anugerah Khas menjadi milik Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri, bekas pelajar SMK Kuala Abang yang cacat penglihatan yang memperoleh 5A dalam SPM 2018 dan Nur Hazwani Hussain (SMK Nasiruddin Shah) bagi STPM 2018.

Bagi Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2018 diberikan kepada Nur Syahidah Hassan, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) dan Muhammad Shahidan Wahab (SMK Bukit Sawa) manakala Pelajar Terbaik STAM 2018 ialah Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi dan Nik Karimah Nik Abdul Ghafar. - UTUSAN ONLINE