Atase Budaya di Kedutaan Diraja Arab Saudi di sini, Dr. Zayed Al- Harethi berkata, setakat ini 100 pelajar dari Malaysia memperoleh  biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Imam Mohammad Bin Saud di Riyadh.

“Kita mungkin akan meningkatkan jumlah penerima biasiswa dari Malaysia memandangkan sambutan dari pelajar untuk melanjutkan pelajaran di Arab Saudi amat menggalakkan.

“Malah di Arab Saudi juga banyak universiti-universiti yang menawarkan suasana pengajian terbaik kepada pelajar Malaysia,” katanya di selepas menghadiri majlis mesra media di Pusat Misi Kebudayaan Kedutaan Diraja Arab Saudi semalam.

Lebih 50 pengamal media cetak serta  elektronik dari Arab Saudi dan negara ini diundang untuk menghadiri majlis tersebut yang diadakan sempena lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang melawat Malaysia bermula semalam.

Menurut Zayed pada waktu ini, di Arab Saudi terdapat lebih 1,000 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di negara berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Badan Ulama-Ulama Islam Antarabangsa, Dr. Saad Ali berkata, suasana persekitaran yang penuh nilai-nilai keislaman di Arab Saudi dan Malaysia membuatkan pelajar tertarik untuk menyambung pengajian di kedua-dua negara.

“Malaysia sebuah negara Islam yang aman dan pendidikan tinggi di sini juga setanding dengan di Arab Saudi,” katanya. - UTUSAN ONLINE