Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Callme yang merupakan inisiatif bersama Koperasi Pemandu dan Pengusaha Teksi Limosin dan Kereta Sewa Selangor Berhad (Kopetekma) itu membantu pemandu teksi khususnya di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersaing dengan perkhidmatan e-hailing yang lain.

“Pendekatan lebih moden ini dilihat mampu menjamin kebajikan pemandu teksi dan merupakan satu hala tuju yang betul.

“Aplikasi ini juga berupaya mengharmonikan industri e-hai­ling dan meningkatkan daya saing dalam kalangan pemandu teksi seiring Revolusi Perindustrian Keempat yang bakal menjana pertumbuhan ekonomi ke arah pendigitalan yang holistik sekali gus meningkatkan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Projek Aplikasi E-Hailing Callme anjuran Angkasa dan Petekma di KLIA, dekat sini hari ini. Hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Koperasi Petekma, Mohd. Syahir Abd. Aziz.

Mengulas lanjut Loke berkata, aplikasi e-hailing Callme dijangka memberi impak positif kepada koperasi yang berteraskan fungsi pengangkutan selain meningkatkan perkhidmatan industri teksi dan kereta sewa koperasi sedia ada.

Sementara itu, Mohd. Syahir berkata, setakat ini, seramai 1,600 pemandu teksi di KLIA telah berdaftar menggunakan Callme.

Bagaimanapun jelasnya, operasi aplikasi itu hanya akan dilaksanakan di KLIA sebelum diperluaskan ke KLIA2 dan seluruh negara bermula pada tahun hadapan.

“Dalam masa terdekat, kita merancang untuk melancarkan Callme di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah bagi membantu pemandu teksi di sana.

“Dengan aplikasi ini, kita percaya ia akan membantu pemandu teksi berlesen meningkatkan pendapatan harian mereka sehingga tiga hingga 40 peratus,” katanya.