Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainudin berkata, Menteri-menteri Luar APEC dalam mesyuarat pagi ini menerima baik pendekatan itu dan memuji langkah Perdana Menteri memperkenalkan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) empat tahun lalu.

Menurutnya, ketika berucap semasa sesi intervensi dalam mesyuarat itu hari ini, beliau membangkitkan mengenai betapa pentingnya keganasan dibanteras dalam kumpulan yang besar, bukannya secara bersendirian.

"Saya juga telah maklumkan dalam mesyuarat Menteri-Menteri Luar APEC pagi ini bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam mahu melihat segala maklumat dan pengalaman mestilah dikongsikan oleh semua negara dan bersifat terbuka serta saling mempunyai kepercayaan.

"Kita juga telah mempelawa negara-negara anggota APEC melalui GMM supaya sama-sama menggunakan pendekatan yang dibawa oleh Perdana Menteri ini. Ini telahpun diterima baik oleh rakan-rakan dalam mesyuarat pada pagi ini," katanya.

Beliau bercakap demikian kepada wartawan Malaysia di Pusat Media, Pusat Konvensyen Nasional China (CNCC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Multilate­ral) kementerian, Da­tuk Ho May Yong dan Duta Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin.

Hamzah berkata, be­liau juga mempelawa anggota APEC memanfatkan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) yang ditubuhkan oleh Malaysia pada 2003 dan telah mengendalikan pelbagai kursus perkongsian pengalaman dalam mengekang aktiviti keganasan.

Menurutnya, isu menangani keganasan global yang dibangkitkannya itu mendapat sokongan dan kebanyakan negara turut mengakui bahawa ke­­ganasan adalah isu yang besar akhir-akhir ini.

"Melawan keganasan ini amat penting kerana kalau tidak ia akan memberi impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi. Jadi saya menegaskan bahawa jika kita tidak menangani isu ini dengan baik akhirnya nanti ia akan menjadi satu masalah yang besar.

"Dasar Malaysia ialah mengutamakan kepentingan rakyat, memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi untuk mengekang fahaman, ideologi dan aktiviti pengganas," katanya. – MINGGUAN