"Ya ada dua atau tiga kerusi dalam senarai (untuk dikosongkan) tetapi saya tidak tahu yang mana satu...tunggu sehingga diumunkan," kata beliau kepada pemberita selepas majlis bersama penyokong PKR di sebuah hotel di sini petang ini.


Anwar yang menang jawatan Presiden PKR tanpa bertanding sebelum ini mengetepikan kemungkinan akan bertanding kerusi Pandan yang kini dipegang oleh isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau kerusi Permatang Pauh, kerusi yang pernah beliau duduki dan kini dipegang anak beliau Nurul Izzah.

Mengenai perpaduan parti, Anwar tidak bersetuju dengan tanggapan pihak tertentu kononnya PKR kini perpecah kepada dua kumpulan menjelang pemilihan parti itu.

"Tidak ada dua kem, hanya satu kem iaitu kem Anwar," katanya.

Terdahulu di dalam ucapannya Anwar mengingatkan pemimpin dan anggota PKR agar jangan menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah.

"Ini adalah amaran keras saya kerana selagi saya menjadi presiden PKR saya tidak akan bertolak ansur dengan amalan rasuah," tambahnya.

Beliau berkata rakyat mengundi PKR pada pilihan raya umum lepas kerana prinsip perjuangan dan idealisme parti dan beliau menambah bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin dan anggota untuk menjaga nama baik parti itu.


"PKR ada sebuah parti untuk semua...dan ingat semua pemimpin harus bersatu. Saya tidak akan buang anda kalau anda kalah dalam pemilihan parti ," katanya.


Beliau berkata apa yang penting dalam pemilihan parti ialah memilih pemimpin yang terbaik tanpa mengira orang lama atau orang baharu dan tanpa mengira kaum, dan agama.


Sementara itu, Anwar meminta penyokong PKR supaya bersabar menunggu beliau mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.


Beliau berkata rakyat perlu memberi peluang kepada Dr Mahathir untuk menyelesaikan banyak masalah negara, khususnya berkaitan kewangan.


Katanya, Dr Mahathir sudah berjanji akan melepaskan jawatan perdana kepada beliau apabila sampai masanya dan sambil berseloroh beliau berkata: "Jangan pula ada orang lain yang rebut jawatan itu daripada saya."


Turut berucap pada majlis itu ialah Nurul Izzah dan Anggota Parlimen Julau Larry Sng. -BERNAMA