Andaian itu dibuat berdasarkan sambutan yang diterima beliau setiap kali mengadakan program turun padang bertemu orang ramai serta ceramah di sekitar Port Dickson.

Namun, faktor itu bukan satu-satunya penentu terhadap keupayaan Anwar meraih kemenangan bergaya dalam pilihan raya itu yang bertujuan membuka laluan kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Berdasarkan jumlah 63 pe­ratus warga tentera dan polis yang mengundi awal kelmarin, statistik pengundi Sabtu ini juga dijangka tidak banyak berbeza.

Anwar pula dijangka tidak berdepan masalah menarik sokongan pengundi Cina dan India, cuma situasi agak berbeza dengan pengundi Melayu.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang bertanding sebagai calon Bebas masih mempunyai pengaruh yang kuat di Port Dickson terutamanya dalam kalangan orang Melayu yang menganggotai UMNO.

Begitu juga dengan calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam ‘operasi’ menyekat hasrat Anwar menjadikan Port Dickson sebagai markas PH.

Calon-calon Bebas yang lain iaitu Kan Chee Yuen, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan mampu ‘mencuri’ undi daripada Anwar, sekali gus menyukarkan misi mendapatkan majoriti lebih besar daripada yang diterima Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam ­Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Faktor-faktor lain seperti pengumuman cukai baharu oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pemberhentian 20,000 pekerja MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) dan cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangani aduan penyalahgunaan aset serta jentera kerajaan sedikit-sebanyak me­nambah ranjau sepanjang jalan yang ditempuhi Anwar ke Putrajaya.