Anwar yang juga Presiden PKR menerima Anugerah Kebajikan Khas Penaung manakala Kit Siang pula dianugerahkan Anugerah Pencapaian Luar Biasa Sepanjang Hayat.

Mengulas mengenai anugerah yang diterima Anwar, Penaung dan Pengasas Bersama WCEF 2018, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, anugerah itu diberikan kepada Anwar sebagai penghargaan kepada individu bukan berbangsa Cina yang bersedia menjalin kerjasama dengan nilai-nilai orang Cina.

Katanya, Anwar juga dipilih disebabkan sikap beliau sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara menentang politik perkauman demi pembangunan negara.



“Anugerah ini merupakan penghargaan kepada Anwar atas pengorbanan beliau selama ini termasuk berada di penjara semata-mata untuk membangunkan negara dengan lebih baik.

"Beliau juga layak menerima anugerah ini kerana Anwar merupakan pemimpin yang bersedia bekerjasama dengan orang Cina dan kaum lain atas tujuan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena WCEF 2018, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kim Yew berkata, Anugerah Pencapaian Luar Biasa Sepanjang Hayat yang diberikan kepada Penasihat DAP itu kerana Kit Siang merupakan pemimpin Cina yang cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Cina bukan sahaja di Malaysia bahkan juga di China.

Jelas beliau, Kit Siang juga layak menerima anugerah tersebut kerana pengorbanan dan kepemimpinan beliau dalam bidang politik.

"Beliau sanggup berkorban walaupun beliau layak berada dalam barisan Kabinet selain itu, secara peribadi saya melihat Lim Kit Siang juga merupakan seorang pemimpin yang sangat ikhlas bekerja demi rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE