Anwar akhirnya diberi pembebasan serta-merta selepas rayuan pengampunan dibentang dan dipertimbang dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ke-51 hari ini.

Anwar menghadap Agong

ANWAR IBRAHIM (tengah) dan Mohamed Azmin Ali (kiri) menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini. - UTUSAN ONLINE/Bernama

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir dalam sidang akhbar di Yayasan Al Bukhary memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk memberi pengampunan kepada bekas Ketua Pembangkang itu.

Sementara itu, dekat pekarangan Unit Kemasukan Pesakit, Hospital Rehabilitasi Cheras, ratusan pengamal media dari dalam dan luar negara serta penyokong sudahpun berkumpul sejak awal pagi tadi untuk menunggu pembebasan Anwar.

Turut kelihatan di sana ialah Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali tiba pada pukul 10.30 pagi untuk menyerahkan surat jemputan mengadap Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar.

Sejam kemudian, Anwar akhirnya muncul dekat laluan keluar dari Unit Kemasukan Pesakit menuju ke kenderaan Jabatan Penjara untuk pergi ke Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan berlangsung pada pukul 12 tengah hari.

Sebelum meninggalkan hospital, beliau sempat melambaikan tangan kepada para petugas media dan penyokongnya yang melaungkan ‘Reformasi’.

Sementara di luar pintu masuk utama hospital terdapat ratusan penyokong memakai baju yang tertera logo parti dan wajah Anwar mengibarkan bendera sambil menunggu bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar sebelum ini berhadapan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Penasihat PKR itu dijadualkan akan bertemu dengan pada penyokongnya pada malam ini di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas solat sunat Tarawih. - UTUSAN ONLINE