Ketika kali terakhir anugerah berprestij tersebut dianjurkan empat tahun lalu, penulis novel dan ahli akademik, Fatimah Busu dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Kelantan 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, Kelantan memiliki ramai sasterawan serta karyawan disegani di seluruh pelosok tanah air sehingga negeri ini digelar sebagai 'lubuk penulis'.

Perkara itu kata beliau, amat membanggakan Kelantan dan kerajaan negeri berhasrat mahu memberi pengiktirafan sewajarnya kepada golongan tersebut.

"Kita pernah bekerjasama dengan DBP dan berjaya menganjurkan Anugerah Sastera Negeri Kelantan pada 2015 dan kita tidak mahu bidang sastera ini terpisah dari kemajuan yang melanda dunia global hari ini.

"Kalau tidak ada apa-apa halangan, kerajaan negeri sedia berbincang dengan pihak DBP untuk mewujudkan sekali lagi anugerah sedemikian pada tahun ini, jika dipersetujui ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bicara Editor: Bersama Mingguan Malaysia dan Dewan Sastera anjuran Gabungan Penulis Muda Kelantan (Gema) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dan DBP Wilayah Timur, di sini hari ini.

Mingguan Malaysia diwakili Penolong Pengarangnya, Rozaman Ismail manakala Dewan Sastera diwakili Pengarangnya, Zaharanum Kamarudin.

Yang turut hadir, Ketua 1 Gema merangkap Naib Presiden Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, Zainal Abidin Muhamad; Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Mohamad Raizuli Mat Jusoh serta Ketua Unit Sastera DBP Wilayah Pantai Timur, Muhamad Ikhram Husin.

Md. Anizam dalam pada itu berkata, kerajaan negeri tidak akan berhenti memberi sokongan kepada para penulis namun dalam masa sama berharap golongan itu terus konsisten berkarya, termasuk menjulang keistimewaan negeri ini dalam karya masing-masing. - UTUSAN ONLINE