Individu dimaksudkan adalah keprihatinan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Norhisham Ahmad Dahalan yang berbasikal sekitar kawasan pentadbirannya serta keangkuhan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membantah projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip).

‘Berbasikal cari masalah penduduk’

Kesungguhan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Norhisham Ahmad Dahalan mengayuh basikalnya seawal pukul 9 pagi meninjau sekitar kawasan Subang Jaya berjaya dirakam dan tular dikongsi dalam laman sosial sejak Selasa lalu.

Katanya, aktiviti berbasikal awal pagi bukan perkara baharu dan sudah lazim dilakukannya bagi meninjau lebih dekat kawasan yang sering MPSJ terima aduan.

“Awal minggu lalu saya singgah meronda sekitar USJ 11, USJ 13 dan USJ 9 untuk lihat kerja mengutip sampah oleh kontraktor yang dilantik beroperasi dalam kawasan komersial.

“Dalam masa satu jam saya jumpa tempat pembiakan tikus di belakang lorong-lorong premis komersial serta berjaya kesan pekerja kontraktor yang tidak efisien,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gambar beliau santai menunggang basikal di jalan raya dan lorong belakang kawasan komersial seorang diri tanpa apa-apa protokol tular dan meraih reaksi positif rata-rata netizen yang kagum keprihatinan orang nombor satu MPSJ itu.

Menurutnya, aktiviti meronda dengan basikal itu dibuatnya secara senyap tanpa makluman kepada mana-mana kakitangannya dan tidak sangka ada yang perasan dan ambil gambar saya kemudian jadi perkongsian di Facebook.

‘Teresa Kok vs Kunan’

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan menggapnya ‘gila’ ekoran bantahan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang sepatutnya disokongnya selaku Ahli Parlimen kawasan itu.

Katanya, projek itu adalah sebahagian program pembangunan semula kawasan perumahan lama termasuk kawasan yang tidak digunapakai bertujuan memberi peluang kepada warga kota memiliki rumah kediaman dengan harga murah.

Katanya, Rumawip ini dibina untuk semua tidak kira kaum dan latar belakang demografi pemohon yang ingin membelinya dengan harga jualan unitnya bermula serendah RM188,000 sehingga RM245,000 sahaja.

“Saya rasa dia (Teresa) ini gila sikit, saya tidak faham kerana kita ada satu program di mana kita akan bangunkan rumah lama dan juga kawasan-kawasan pada pandangan kita tidak digunapakai oleh rakyat.

“Dia dah tak boleh tengok bahawa kita sediakan pembangunan seperti ini dalam kawasan dia dan barangkali takut berlaku perubahan demografi dengan pertambahan ramai penduduk Melayu yang bakal masuk kawasannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ekoran video tular insiden tetamu majlis perkahwinan dengan peserta protes yang berlangsung di Dewan Komuniti Seputeh di sini menyebabkan kekacauan kelangsungan majlis yang dihadiri saudara-mara dan tetamu jemputan.