Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Datuk Sazali Hussein berkata, langkah ini boleh memberi kefahaman dan kesedaran mendalam berkaitan agihan zakat serta mengelakkan persepsi negatif berhubung pengurusan dana zakat di Pulau Pinang.

Menurutnya, selain memberi bantuan terus kepada asnaf, ZPP juga mengagihkan sumber zakat kepada kumpulan sasaran melalui tajaan pendidikan, latihan kemahiran serta kursus dan projek pembangunan asnaf melalui bengkel-bengkel yang dibangunkan.

“Kita juga memberi bantuan rawatan kesihatan melalui Pusat Hemodialisis Zakat, ruang perniagaan di Zakat Mart, asrama Inapan Kasih Sayang untuk pelajar sekolah serta Pusat Latihan Zakat (Pulaza).

“Kepelbagaian bantuan ini bertujuan memberikan ilmu pengetahuan dan galakan kepada asnaf untuk berubah ke satu tahap yang lebih baik dan mengelakkan budaya meminta-minta malah kita juga berjaya melahirkan usahawan di kalangan penerima zakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sazali ditemui ketika meraikan kunjungan anggota Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Pulau Pinang dalam Program Ziarah Asnaf ke Pusat Hemodialisis Zakat dan Zakat Mart Tasek Gelugor serta Pusat Jagaan Darul Hanan dan asrama Inapan Kasih Sayang di Pongsu Seribu.

Program itu membolehkan anggota Angkasa yang juga amil zakat ZPP melihat sendiri kemudahan yang disediakan serta beramah mesra dengan pesakit serta penghuni di asrama seliaan ZPP itu.

Tambahnya, ZPP juga semakin agresif menjalankan kempen di media sosial bagi menunjukkan sendiri kepada umum mengenai agihan zakat yang diterima pihaknya bagi mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat yang mempertikaikan peranan agensi itu.

Jelasnya, mereka sentiasa bersifat terbuka menerima kritikan serta sentiasa turun padang menerusi kempen bergerak ke seluruh negeri selain menerusi media sosial seperti Facebook, Instragram dan sebagainya.

“ZPP berharap sasaran kutipan zakat sebanyak RM110 juta tahun ini akan tercapai dan setakat semalam, kita telah berjaya mengutip RM79.8 juta selain membuat agihan sebanyak RM67.9 juta,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE