Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, dua pasukan penguatkuasa JPJ Perak yang terdiri daripada enam anggota itu dipinjamkan bagi melancarkan operasi agensi berkenaan.

“Operasi harian JPJ berlaku seperti biasa dan anggota penguat kuasa dari JPJ Perak ini dipinjamkan sejak Jumaat lalu.

“Mereka yang dipinjamkan terdiri daripada dua pasukan yang dianggotai oleh enam anggota penguat kuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada pukul 10 pagi hingga 10 malam, Selasa lalu.

Kelmarin, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.

Hari ini, lima lagi anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ negeri di reman oleh SPRM untuk membantu siasatan kes rasuah tersebut selepas 22 anggota penguatkuasa ditahan SPRM semalam.

Difahamkan, 17 lagi anggota penguatkuasa dibebaskan dengan jaminan semalam.

Dalam pada itu, Mohamat Johari berkata, setakat pukul 1 tengah hari ini, beliau masih belum dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah membabitkan anggota penguatkuasa JPJ itu. - UTUSAN ONLINE