Salabiah Ali, yang kini berusia 90 tahun, masih terkenangkan bagaimana dia dan rakan-rakan dalam pasukan Home Guard serta penduduk kampung mempertahankan kampung halaman mereka di Degong, Langkap daripada ancaman komunis pada 1940-an.

Menurutnya, dia tidak dapat melupakan saat sukar ketika di­serang komunis di kampungnya di Degong di sini sehingga ter­kena tembakan di bahagian punggung.

“Lebih menyedihkan akibat kekejaman komunis, ramai penduduk kampung terbunuh. Setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, saya sebak mengenangkan pengorbanan ka­wan-kawan yang berjuang mempertahankan negara.

“Ada dalam kalangan mereka termasuk penduduk kampung yang terkorban semasa berjuang, malah saya sendiri cedera di punggung akibat terkena tembakan pengganas komunis,” kata­nya di sini hari ini.

Home Guard merupakan an­tara pasukan yang ditubuhkan un­tuk membantu pasukan keselamatan seperti tentera dan polis bagi menyekat ancaman komunis pada masa darurat.

Salabiah yang mempunyai 11 anak, 40 cucu dan tujuh cicit berkata, sebagai anggota Home Guard, dia tidak takut mempertaruhkan nyawa menentang komunis yang cuba mengganggu penduduk kampung.

Katanya, keberaniannya didorong atas semangat tidak rela kampung halaman ditawan pengganas komunis.

Jelasnya, akibat ancaman komunis, kerajaan mengadakan arahan perintah berkurung yang mana penduduk tidak dibenarkan keluar rumah selepas pukul 6 petang.

“Ketika itu, keadaan kampung amat suram, penduduk sentiasa ketakutan dan tidak berani keluar rumah kerana diganggu pengganas komunis, malah tanaman dirosakkan dan harta benda penduduk dimusnahkan.

“Komunis begitu kejam membunuh penduduk dengan membuat serangan hendap,” katanya.

Menurutnya, walaupun negara sudah lama mencapai kemerdekaan, namun dia masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang ditempuhinya di kampung halamannya sendiri.

“Oleh itu, saya harap generasi hari ini yang menikmati kehidupan dalam suasana aman, janganlah melupakan perjuangan orang dahulu yang bermati-matian mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.