Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi

Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, hukuman sebat yang dikenakan terhadap dua wanita tersebut dijalankan dengan penuh ketelitian tanpa mendatangkan kecederaan parah ke atas mereka.

Kata beliau, pihaknya mengambil pendirian menyokong tindakan kerajaan Terengganu yang melaksanakan undang-undang syariah berkaitan ruang lingkup bidang kuasa perundangan negeri seperti yang terkan­dung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak dinafikan, un­dang-undang tersebut berjaya membuka mata semua pihak wa­laupun mendapat pelbagai reaksi namun hakikatnya, falsafah hukuman syariah memutikkan rasa kegerunan terhadap Allah SWT.

“Secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat khususnya yang beragama Islam melahirkan keinsafan dan tidak dinafikan itu merupakan senjata yang dapat membendung gejala sosial seperti perlakuan seks luar tabii,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Fakhruddin, tindakan yang diambil oleh kerajaan Terengganu amat tepat memandangkan kes-kes seumpama itu yang hangat diperjuangkan oleh golo­ngan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dilihat semakin menular di Malaysia pada masa ini.

“Masyarakat perlu disedarkan, perlakuan menyanggahi fitrah ketentuan Allah SWT itu bukan sahaja mengundang masalah kesihatan serta pelbagai penyakit malah merupakan dosa besar dan akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak,” ujarnya.