Menurut portal The Edge Markets, bekas pegawai PetroSaudi International Ltd. itu menerima wang berjumlah RM8.2 juta (AS$2 juta) atas bantuannya mendedahkan salah laku dalam skandal tersebut.

Andre Justo yang hadir ke pejabat The Edge di Petaling Jaya bersama isterinya, Laura dan anak lelakinya, Zander menerima wang tersebut dari Kooi Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Media Group, Ho Kay Tat.

Menurut Kooi Ong, Andre Justo berjasa menyumbangkan maklumat kepada syarikat media itu bagi mendedahkan salah laku yang berlaku dalam 1MDB, yang dipercayai menjadi salah satu sebab utama kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Hadiah untuk (Andre) Justo adalah penghargaan atas sumbangannya kepada Malaysia dalam membantu mendedahkan kleptokrasi kerajaan terdahulu.

“Tanpanya, salah laku melibatkan 1MDB seperti yang didedahkan The Edge tidak akan mendapat perhatian,” katanya seperti dipetik portal The Edge Markets di sini hari ini.

Menghargai pemberian Kooi Ong, Andre Justo berkata, hadiah tersebut membantu dia dan keluarganya membina semula kehidupan selepas pelbagai rintangan dilalui ketika mendedahkan maklumat skandal 1MDB, termasuklah dipenjarakan di Thailand pada tahun 2015.

“Rakyat Malaysia perlu mengetahui kebenaran (tentang 1MDB) dan saya juga memperoleh kebebasan semula,” katanya.

Pada 2015, dalam kenyataannya kepada akhbar Singapura, The Straits Times, semasa dipenjara di Thailand, Andre Justo mendakwa beliau ditawarkan wang berjumlah AS$2 juta sebagai imbalan bagi data yang dicuri daripada bekas majikannya, Petrosaudi International Ltd.

Ketika itu, dia mendakwa tidak pernah menerima bayaran tersebut yang sepatutnya diberikan oleh seorang ahli perniagaan terkemuka dari Malaysia.

The Edge yang dipercayai ramai merupakan pihak yang menawarkan wang kepada Andre Justo bagaimanapun menafikan perkara tersebut ketika itu dengan mengeluarkan kenyataan di muka hadapan akhbarnya selepas Kay Tat disoal polis pada Julai 2015.

“Kami tidak terlibat dengan apa-apa pencurian, kami tidak membayar sesiapa dan kami tidak mengubah suai mana-mana e-mel dan dokumen yang diberikan,” kata Kay Tat dalam kenyataan itu.

Selepas Pakatan Harapan memenangi PRU-14, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengarahkan supaya siasatan 1MDB dibuka semula.

Selepas itu, Andre Justo dilihat beberapa kali hadir ke Putrajaya bagi menemui Dr. Mahathir selain memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan tersebut. - UTUSAN ONLINE