PUTRAJAYA 10 Okt.- Anak perempuan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Nurul Hidayah dilihat keluar pada pukul 4.53 petang dan kemudian menaiki kenderaannya berwarna hitam.
Selain Ahmad Zahid, beliau juga dipercayai dipanggil beri keterangan kepada SPRM.
Bagaimanapun, Nurul Hidayah menjelaskan kehadirannya adalah untuk menemani bapanya.
“Saya hadir untuk menemani beliau,” katanya dengan ringkas.
Turut dipanggil beri keterangan adalah abang tiri Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.
Terdahulu, mereka hadir secara berasingan pada pukul 9.30 pagi.
Menurut sumber sebelum ini memaklumkan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan di sebuah yayasan.
Difahamkan, Ahmad Zahid telah menerima waran daripada SPRM pada minggu lalu supaya hadir ke ibu pejabat agensi itu hari ini.
Ini merupakan kali ketiga Ahmad Zahid dipanggil keterangan kepada SPRM apabila sebelum ini membabitkan siasatan penyelewangan dana yayasan dikaitkan dengan beliau iaitu Yayasan Akal Budi.-UTUSAN ONLINE