Sultan Nazrin bertitah, dengan pindaan penurunan had usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, sebanyak 7.8 juta pengundi baharu dijangka terdaftar secara automatik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika ia diadakan pada tahun 2023 iaitu peningkatan lebih 50 peratus berbanding PRU-14.

Baginda bertitah, dengan unjuran sebanyak 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia antara 18 hingga 40 tahun, ia dilihat memberi kuasa lebih besar kepada anak muda untuk mencorakkan kepemimpinan negara serta memilih kerajaan.

Menurut baginda, memilih kerajaan adalah perkara serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan, justeru penilaian hendaklah diasaskan kepada pemikiran yang rasional dengan berteraskan fakta dan bukannya sentimen mahupun emosi.

"Anak muda perlu dibimbing agar memahami erti dan amalan demokrasi yang membina, sistem kerajaan, pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

"Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki nilai-nilai moral yang betul berpaksikan undang-undang, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca.

"Anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen kenegaraan dan tatanegara. Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri, perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara," titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Istiadat Konvokesyen Ke-48 Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, dengan pindaan Akta Pertubuhan Belia 2007 yang mendefinisikan semula belia sebagai mereka yang berusia 15 hingga 30 tahun, ia memberi kepercayaan lebih besar kepada golongan remaja untuk menggalas tanggungjawab kepemimpinan.

Baginda bertitah, pindaan itu juga boleh ditafsirkan sebagai satu landasan mematangkan golongan muda serta meluaskan penglibatan remaja dalam proses membuat keputusan serta menyuarakan pendirian, justeru wajib dihargai dengan menunjukkan sifat tanggungjawab dan kematangan.

Selain itu, baginda bertitah, anak muda hendaklah memahami pentingnya faktor perpaduan serta menghargai kehadiran setiap kaum sekali gus mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan, menidakkan hak sesuatu kaum atau melanggar perkara-perkara asas yang telah dipersetujui semasa penggubalan Perlembagaan Merdeka.

"Setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, suara perpaduan yang menyatukan warga, jangan sama sekali dibenarkan untuk dirampas oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek. Masa hadapan rakyat dan negara tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman ekstremis kaum dan agama.

"Semangat merangkumi (inclusiveness) merupakan serapah sakti yang berjaya menyatupadukan warga di negara ini, menjadi mantera ajaib menewaskan diayah dan cita-cita Parti Komunis Malaya, mengatasi ancaman Indonesia semasa berlakunya konfrontasi, merawat luka akibat peristiwa 13 Mei dan mengharungi pelbagai krisis ekonomi yang berlaku," titah baginda. - UTUSAN ONLINE