Azrin Mohamad, 42, yang satu jari kaki kanannya dipotong dua tahun lalu akibat pe­nyakit dihadapinya, tidak berhasrat menyusahkan mana-mana pihak namun pendapatannya terjejas akibat sakit itu.

Pemandu van itu berkata, dia hanya mendapat gaji harian.

Isterinya, Nur Aminah Pariyatna, 27, pula bekerja sebagai pembantu kedai aksesori te­lefon dengan pendapatan tidak seberapa bagi membantunya menyara keluarga.

“Saya terfikir untuk membatalkan hasrat menghantar anak ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Me­laka (JAIM) kerana tidak cukup wang untuk membeli pakaian dan membayar yuran.

“Pakaian untuk ke sekolah rendah harian telah dibeli isteri, cuma kami tak cukup wang nak hantar anak ke sekolah agama.

“Walau bagaimanapun, kami amat bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu menyediakan keperluan sekolah petang anak saya. Jika tidak, saya mungkin terpaksa tangguhkan dulu persekolahannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Nasib keluarga dari Kampung Bukit Piatu, di sini itu mendapat perhatian Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee yang menyumbangkan kelengkapan sekolah agama kepada Muhammad Firas Darwisy baru-baru ini.

Jelas Azrin, bantuan yang diterima itu memberi sema­ngat kepada anaknya untuk ke sekolah malah dia sudah tidak sabar memasuki sekolah dan bertemu rakan-rakan baharu.

“Bantuan yang diberikan sangat besar maknanya bagi kami yang kurang berkemam­puan ini dan saya juga akan mencari ikhtiar untuk bekerja demi menyara keluarga.

“Walaupun pergerakan terbatas, saya harap ada rezeki untuk saya bekerja kerana tidak mahu bergantung kepada bantuan serta simpati orang semata-mata,” tambahnya.

Sementara itu, Norhizam berkata, keluarga yang kesempitan dan memerlukan bantuan dalam kawasan Pengkalan Batu boleh memaklumkan kepada­nya menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.

“Setakat ini pihak kami telah menyalurkan bantuan hampir RM20,000 menerusi Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pengkalan Batu membabitkan kira-kira 200 murid-murid sekolah rendah,” ujarnya.