AZRIL MOHD. AMIN

Pengerusi Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Dalam Proses Semakan Sejagat (MACSA), Azril Mohd. Amin berkata, titah Sultan Abdullah itu juga merupakan penzahiran keprihatinan raja-raja Melayu sekian lama dalam memastikan hak asasi rakyat dijamin tanpa perlu mengorbankan Islam dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam usaha memenuhi piawaian hak asasi manusia sejagat seperti yang asalnya dipersetujui negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) mula-mula diisytiharkan pada tahun 1948, kita perlu akur bahawa undang-undang tertinggi negara ini adalah Perlembagaan Persekutuan.

"Ia menggariskan kedudukan jelas Islam sebagai agama Persekutuan yang berperanan jelas membentuk acuan hak asasi manusia yang hendak diperjuangkan. Titah Yang di-Pertuan Agong perlu diambil serius semua lapisan masyarakat oleh kerana Malaysia sebagai negara yang memperakui UDHR setakat mana tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Utusan Online hari ini.

Semalam, semasa Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Al-Sultan Abdullah bertitah, institusi agama kerap menerima tekanan dari luar seperti pihak PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mereka menegakkan hak asasi manusia namun bertentangan dengan syariat Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, hanya kesatuan serta kerjasama yang kukuh dapat menepis segala permintaan yang bertentangan dengan syariat Islam serta Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, tambah Azril, Malaysia juga mempunyai komitmen untuk melaksanakan prinsip dan idea hak asasi manusia yang mempunyai kepentingan lebih luar menerusi dua deklarasi yang disertai sebelum ini.

"Wujud keperluan jelas untuk Malaysia sebagai negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara anggota ASEAN untuk menjadikan kedua-dua Deklarasi Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 panduan dalam melaksanakan prinsip-prinsip, idea dan tindakan hak asasi manusia yang bersesuaian dan mencapai maksud menjaga kepentingan hak-hak masyarakat yang lebih utama dan luas daripada hak-hak kebebasan mutlak individu," katanya.- UTUSAN ONLINE